Jumat, 10 November 2023

Pahlawan Sekuriti Makanan

    Asia Tenggara terdiri daripada wilayah-wilayah subur yang menjadi kegilaan kolonial pada era kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah di Eropah. Portugal, Belanda, Inggeris dan Sepanyol berlumba-lumba belayar ke Hindia Timur pada sekitar abad ke-16 yang pada peringkat awalnya menjalin hubungan perdagangan rempah yang dikuasai pemerintah asal Nusantara di wilayahnya masing-masing. Perdagangan yang berakhir dengan penjajahan. Kelemahan sistem pemerintahan dan perpecahan antara masyarakat pada ketika itu memperkukuhkan lagi kedudukan pedagang/penjajah sehingga mereka memonopoli ekonomi di wilayah ekonomi mereka masing-masing. 

Pelangi Sesudah Gerimis

    Tanah Melayu pada peringkat awal sangat sinonim dengan penanaman beras kerana keseluruhan masyarakat Melayu makan nasi. Walaupun setelah merdeka, Tanah Melayu yang kemudiannya dikenal sebagai Malaysia tidak lagi memiliki tanaman padi sendiri kerana perubahan sektor pertanian komoditi dengan berkembangnya pembukaan ladang-ladang dan estet-estet kelapa sawit dan getah. Walaupun KDNK negara memberikan gambaran positif jangka pendek, fenomena sekuriti makanan hari ini boleh juga terkait dengan transisi pertanian yang berlaku disebabkan dasar-dasar pembangunan kerajaan pada ketika itu.

    Kegiatan ekonomi luar bandar meneruskan legasi pedagang/penjajah yang mengambil buruh dari India (Wilayah Penjajahan British) sebagai pekerja estet. Sektor ekonomi penanaman padi perlahan-lahan ditukar kepada penghasilan komoditi sehingga berlaku sedikit kecacatan dalam kestabilan dalaman negara dari sudut makanan. Keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh Asia Tenggara kecuali Thailand dan Vietnam hari ini masih memiliki penghasilan beras yang mencukupi untuk rakyat negara mereka. Kemajuan yang diertikan kemodenan telah menyebabkan masyarakat kampung yang tiada penghasilan sumber ekonomi terutamanya makanan telah berhijrah ke bandar untuk bekerja bagi tujuan penghasilan gaji untuk membeli makanan.

Transisi pertanian telah mengubah masyarakat yang berdikari kepada sebuah komuniti lain yang seolah-olah bekerja hanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Padahal beras pada satu ketika dulu merupakan keperluan asas yang tak terpisahkan dengan masyarakat Melayu yang menghasilkan makanannya sendiri. Akhirnya sampai hari ini Malaysia sebagai sebuah negara subur terpaksa mengimport beras dengan harga yang tinggi akibat fenomena global yang sedang dan terus akan berlaku.

    Kawasan kampung hari ini semakin tandus dan kering. Tidak ada lagi hiruk pikuk kampung sewaktu musim menuai. Hanya tinggal bunyi cengkerik menunggu bila datangnya hujan. Warga emas di kampung semakin tua. Rumah-rumah kampung kebanyakan sudah mula usang kerana orang kampung pindah ke kota. Apakah ini yang dinamakan kemodenan? Adakah bangunan tinggi mencakar langit merupakah peradaban sebuah bangsa?

Kenapa keadaan ini terus berlaku dan menghimpit golongan yang lemah? Adakah dengan jualan minyak sawit dan getah menjamin kemampuan kita menyediakan makanan untuk rakyat? Tanah pertanian di Malaysia sangat luas. 7.6 juta hektar tanah pertanian tetapi hampir 5 juta hektar tanah digarap untuk penanaman getah dan kelapa sawit. Kawasan penanaman padi di Sekinchan mampu menghasilkan sehingga 12 tan beras sehektar. Sekiranya 5 juta hektar tanah pertanian ditanam padi, berapa penghasilan beras negara? 60 JUTA TAN METRIK BERAS. 

    Sudah waktunya kerajaan Malaysia memberikan dasar-dasar jangka panjang yang memberi impak positif kepada sekuriti makanan negara. Pepatah Arab menyebut 'Petani Pemilik Negara'. Pertanian bermaksud kita mampu menghasilkan makanan kita sendiri tanpa perlu membeli dari orang lain. Pepatah China pula mengatakan 'Petani Kaya, Negara Jaya'. Dengan hasil makanan yang melimpah, kita mampu memperdagangkan makanan kepada mereka yang memerlukan.

    Malah, bagi masyarakat yang ditimpa musibah, kita mampu menghadiahkan makanan untuk sumber penghidupan mereka. Bayangkan suatu ketika negara memiliki harta kekayaan tetapi terpaksa menggadaikannya hanya kerana kita lebih memerlukan makanan untuk rakyat. Harta yang banyak sudah tidak berguna lagi dan terpaksa digadaikan dengan membeli pada harga yang mahal kerana permintaan yang terlalu tinggi atau fenomena baru yang kita tidak jangkakan. Adakah kita bersedia?

Referensi;
Transisi Pertanian di Asia Tenggara – Pemerhatian Terhadap Malaysia



Tidak ada komentar:

Posting Komentar